
Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah di Tawau
TAWAU: Dua beradik masing-masing berusia 10 dan 13 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan di sini, pagi Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 6.13 pagi itu mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) autisme dan abangnya yang berusia 13 tahun.
Dalam kejadian itu, empat lagi penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 pagi sebelum jentera tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.
Katanya, ketika pasukan bomba tiba, dua mangsa masih berada di dalam rumah sebelum operasi menyelamat segera dijalankan.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa ditemukan di sebuah bilik di tingkat atas dalam keadaan rentung pada jam 6.43 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan tiga pancutan dengan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
Seramai 16 anggota BBP Tawau digerakkan ke lokasi bersama dua jentera pemadam, sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah lori tangki air dan dua kenderaan utiliti.
Operasi turut dibantu lapan anggota polis serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.
