Sabah First Info Blog Tempatan Penanda Kiblat Kemudahan Asas, Hak Agama Lain Tetap Dihormati – Mufti Sabah
Tempatan Utama

Penanda Kiblat Kemudahan Asas, Hak Agama Lain Tetap Dihormati – Mufti Sabah

Penanda Kiblat Kemudahan Asas, Hak Agama Lain Tetap Dihormati – Mufti Sabah

KOTA KINABALU: Kewujudan penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu hanyalah kemudahan asas bagi membantu umat Islam menunaikan solat dan bukannya bertujuan memberikan keistimewaan eksklusif kepada mana-mana agama.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, pemasangan penanda berkenaan memerlukan pengesahan pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama berkaitan bagi memastikan ketepatan arah kiblat.

Menurutnya, kewujudan kemudahan itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tindakan mengutamakan satu agama sehingga menafikan hak penganut agama lain.

“Tiada istilah keistimewaan eksklusif kepada mana-mana agama di Gunung Kinabalu. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti keagamaan bergantung kepada keperluan serta kelulusan pihak berautoriti, iaitu Taman-Taman Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, penganut agama lain termasuk Kristian, Hindu dan Buddha yang memerlukan kemudahan tertentu turut dialu-alukan mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian serta peraturan taman.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa prinsip keadilan tidak bermaksud semua agama perlu diberikan kemudahan yang sama, sebaliknya setiap pengunjung perlu diberikan penghormatan dan layanan yang saksama.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya keliru antara penyediaan kemudahan untuk sesuatu agama dengan pemberian keistimewaan sehingga menafikan hak agama lain kerana kedua-duanya merupakan perkara berbeza.

Beliau turut menegaskan bahawa penanda kiblat hanyalah petunjuk arah dan kemudahan, bukannya satu kewajipan.

Dalam pada itu, aspek keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pendakian kekal menjadi keutamaan serta tidak boleh dikompromi demi sebarang aktiviti keagamaan atau kebudayaan.

Beliau berkata, Gunung Kinabalu sentiasa terbuka kepada semua lapisan masyarakat, manakala tanggungjawab menjaga keselamatan dan kelestariannya perlu dipikul bersama.

Exit mobile version