
17 Kampung Kerap Banjir, Masalah Elektrik dan Hakisan Sungai: Matbali Desak PETRA Bertindak
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diminta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah banjir, hakisan sungai dan bekalan elektrik yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan Sipitang dan Beaufort.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, ketiga-tiga isu kritikal itu memerlukan penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh demi memastikan kebajikan serta keselamatan penduduk terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau meminta PETRA mempertimbangkan peruntukan khas bagi melaksanakan projek tebatan banjir secara menyeluruh selain menaik taraf sistem saliran sedia ada di kedua-dua daerah berkenaan.
Menurutnya, limpahan Sungai Mengalong serta sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air menyebabkan 17 kampung di Skim Sindumin sering dilanda banjir, malah terdapat kawasan yang mengambil masa lebih seminggu untuk surut.
Beliau turut menggesa kerja-kerja pengorekan, pendalaman dan pemuliharaan muara Sungai Sipitang serta Sungai Mengalong disegerakan.
Katanya, pemendapan sedimen bukan sahaja menghalang pelepasan air ke laut, malah menyukarkan laluan bot nelayan dan bot operasi agensi ketika air surut.
Matbali berkata demikian ketika membahaskan peringkat jawatankuasa Belanjawan PETRA di Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, beliau berkata penduduk di kawasan DUN Lumadan turut berhadapan masalah banjir yang berlaku sebanyak sembilan kali sepanjang 2025 akibat limpahan Sungai Padas dan Sungai Bukau.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Luagan Sanginan, Suasa, Kebajang, Bangkalalak, Mentulud, Bukau dan Lingkungan.
Selain banjir, isu hakisan tebing sungai juga semakin kritikal di beberapa kawasan sekitar DUN Lumadan, antaranya Kampung Lubak, kawasan tanah perkuburan Kampung Lupak dan Beringin serta Kampung Kaundo, Suasa dan Luagan Sanginan.
Menyentuh isu bekalan elektrik, Matbali meminta PETRA membina pencawang elektrik baharu di Kampung Lalangut, Suasa, Kukup, Bangkalalak dan Weston bagi mengatasi masalah susutan voltan yang sekian lama membelenggu penduduk.
Beliau turut meminta talian kabel elektrik tidak bersalut di Kampung Weston dinaik taraf kepada kabel bertebat bagi menjamin keselamatan penduduk.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya 150 unit lampu jalan di Zon Lumadan diganti bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berharap semua isu berkenaan mendapat perhatian serius PETRA agar penyelesaian sewajarnya dapat dilaksanakan demi kepentingan penduduk di Sipitang dan Beaufort.
