Sabah First Info Blog Tempatan 18 Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Dua Kes Pergaduhan Bersenjata di Kampung Air
Tempatan Utama

18 Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Dua Kes Pergaduhan Bersenjata di Kampung Air

KOTA KINABALU, 4 Jun – Polis Daerah Kota Kinabalu menahan seramai 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di kawasan Kampung Air awal pagi tadi.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4 pagi di sebuah premis makanan, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an cedera pada bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari.

Mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan dilaporkan diserang beberapa suspek selepas berlaku perselisihan faham antara beberapa individu di premis berkenaan. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II dan berada dalam keadaan stabil.

Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi sama yang melibatkan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden terdahulu. Seorang lelaki turut mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul.

Bertindak atas maklumat dan risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kota Kinabalu berjaya menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan kes.

Polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian termasuk sebatang hulu senjata dan satu sarung yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata tajam.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan negatif daripada penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat atau balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Exit mobile version