Tempatan Utama

17,564 pemandu dikesan tiada lesen memandu sah, tamat tempoh di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 17,564 pemandu di Sabah dikesan tidak memiliki lesen memandu sah atau memandu dengan lesen tamat tempoh sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata, angka itu menjadikan kes tiada lesen dan lesen tamat tempoh sebagai kesalahan tertinggi direkodkan di negeri ini bagi tahun 2025.

Katanya, selain kesalahan itu, JPJ turut merekodkan 14,530 kes melibatkan lesen kenderaan motor tamat tempoh, 10,452 kes tiada perlindungan insurans sah dan 3,681 kes lesen vokasional tamat tempoh.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 412,475 kenderaan diperiksa di seluruh negeri, dengan 40,097 kenderaan diambil tindakan dan 85,171 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

“Sebanyak 203 kenderaan juga disita dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh Sabah,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

 Mohd Harris semasa sidang media selepas Operasi Bersepadu di Jalan UMS.
SIDANG MEDIA: Mohd Harris semasa sidang media selepas Operasi Bersepadu di Jalan UMS.

Menurut Mohd Harris, kesalahan berjadual utama yang menjadi fokus penguatkuasaan termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Beliau berkata, kebanyakan pemandu memberikan alasan terlupa memperbaharui lesen memandu walaupun pelbagai kemudahan dan peringatan disediakan oleh JPJ.

“Kita sering mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih peka terhadap tarikh luput lesen masing-masing, namun masih ada yang lalai.

“Apabila berlaku kemalangan, mereka menanggung risiko besar kerana lesen dan insurans tidak lagi sah,” katanya.

Mohd Harris menegaskan isu kelalaian ini tidak hanya membabitkan golongan muda, malah turut berlaku dalam kalangan pemandu berpengalaman dan veteran yang benar-benar terlupa memperbaharui lesen.

“Saya menyeru semua pemandu supaya segera menyemak tarikh luput lesen dan memperbaharuinya bagi mengelak tindakan undang-undang serta kesan lebih buruk sekiranya berlaku kemalangan.

“Kini, proses pembaharuan boleh dibuat dengan mudah menerusi aplikasi MyJPJ dan lesen boleh diperbaharui sehingga tempoh 10 tahun.

“Gunakan kemudahan ini untuk memastikan kita sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Operasi Bersepadu malam tadi, beliau berkata sebanyak 904 kenderaan diperiksa dengan 136 saman dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Satu kenderaan turut disita manakala tujuh saman dikeluarkan atas kesalahan teknikal serta satu kenderaan dikesan tiada perlindungan insurans sah,” katanya.

Operasi bersepadu itu disertai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Leave feedback about this

  • Rating