
KOTA BELUD: Penduduk Kampung Berang Benai meluahkan rasa kecewa apabila meter air di kawasan mereka sekali lagi menjadi sasaran pencuri, dipercayai kali keempat atau kelima kejadian seumpama itu berlaku dalam tempoh yang singkat.
Kehilangan tersebut disedari selepas beberapa penduduk mendapati bekalan air ke rumah mereka terputus sebelum membuat pemeriksaan di lokasi meter air masing-masing.
Menurut penduduk, sebelum ini hanya satu atau dua meter air dicuri dalam satu kejadian, namun kali ini sebanyak 15 unit meter air dilaporkan hilang serentak, menyebabkan ramai penduduk terjejas.
Mereka berkata, pada awalnya menyangka gangguan bekalan air berpunca daripada masalah teknikal, namun pemeriksaan lanjut mendapati meter air telah dicuri.
Kejadian berulang itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada penduduk, malah menjejaskan urusan harian yang bergantung kepada bekalan air bersih.
Penduduk berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh serta meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan bagi membendung kegiatan mencuri meter air yang semakin berleluasa.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan bahawa kecurian berulang itu boleh menjejaskan kemudahan asas penduduk serta menambah beban kos bagi menggantikan meter yang hilang.


Leave feedback about this