
11.45 Tan Serbuk Ketum Bernilai RM1.145 Juta Dirampas di Tuaran
TUARAN: Sebanyak 11.45 tan serbuk ketum yang sudah diproses dan dibungkus, dipercayai untuk diedarkan, dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini, Khamis lalu.
Rampasan itu dipercayai antara yang terbesar membabitkan ketum di Sabah, dengan nilai serbuk berkenaan dianggarkan RM1.145 juta, manakala keseluruhan rampasan termasuk kenderaan melebihi RM1.4 juta.
Operasi kira-kira jam 6 pagi itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran hasil maklumat risikan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di premis berkenaan termasuk sebuah lori membawa kepada penemuan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses dan dibungkus.
“Keseluruhan serbuk ketum yang dirampas dianggarkan seberat 11,450 kilogram (kg) dengan nilai RM1.145 juta.
“Empat individu terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Ahmad Amri berkata, siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Siasatan turut diteruskan bagi memastikan penyalahgunaan ketum dalam pelbagai bentuk dapat dibanteras secara menyeluruh.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkasakan risikan dan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Sumber Utusan Borneo
