Sabah First Info Blog Ekonomi 100 peniaga muda di Kuala Penyu dapat manfaat SYABAS
Ekonomi Sukan Tempatan Utama

100 peniaga muda di Kuala Penyu dapat manfaat SYABAS

KUALA PENYU: Seramai 100 peniaga muda di daerah Kuala Penyu menerima bantuan Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) melalui inisiatif Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata bantuan yang disalurkan itu membuktikan Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor prihatin terhadap peniaga muda khususnya di luar bandar dan pedalaman.

“Saya difahamkan Program Outreach Ketua Menteri dilaksanakan bagi memberi peluang kepada peniaga muda yang berada di luar bandar dan pedalaman serta tidak memiliki lesen perniagaan dan akaun bank untuk menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Kita memahami, untuk melayakkan seseorang memperolehi bantuan kerajaan, seseorang itu perlu memenuhi syarat tertentu termasuk memiliki dokumen berkaitan.

“Namun, berkat kebijaksanaan Ketua Menteri, program ini dapat dibawa ke seluruh pelusuk negeri dengan menyasarkan para peniaga muda yang tidak memiliki dokumen rasmi perniagaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan sama ada mengembangkan perniagaan atau memulakannya, ” katanya semasa berucap merasmikan program itu di Monsoi Point, kelmarin.

Dalam pada itu, Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu berkata, melalui pelaksanaan pelbagai program yang telah, sedang dan akan digerakkan membuktikan Kerajaan Sabah amat menitik beratkan anak muda di negeri ini.

Justeru beliau mengajak semua rakyat supaya bersama-sama meletakkan keyakinan tinggi terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri (Hajiji) untuk terus memacu negeri ke arah yang lebih maju dan gemilang.

Jelas Limus, sejak menerajui Sabah bermula September 2020, Hajiji telah dapat membawa negeri ini lebih berdaya saing dan buktinya kerajaan pimpinan beliau mencatat sejarah sebanyak tiga tahun berturut-turut dengan memecah rekod kutipan hasil negeri.

“Peningkatan hasil negeri amat membantu kerajaan untuk merencanakan lebih banyak dasar, polisi serta program berteraskan rakyat termasuk anak muda negeri ini.

“Sudah pasti, program pada hari ini juga merupakan sebahagian daripada nikmat, nilai dan makna yang diperolehi melalui peningkatan hasil kerajaan.

“Dengan rekod dan pencapaian yang saya sebutkan tadi, pastinya kerajaan negeri amat memerlukan kestabilan untuk terus fokus membangunkan negeri ini, ” katanya sambil berharap rakyat akan terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah.

 

Exit mobile version