Sabah First Info Blog Tempatan 10 Wanita Vietnam Ditahan, Sindiket Persundalan Berselindung Di Sebalik Spa Tumpas
Tempatan Utama

10 Wanita Vietnam Ditahan, Sindiket Persundalan Berselindung Di Sebalik Spa Tumpas

KOTA KINABALU: Kegiatan persundalan yang dipercayai berselindung di sebalik operasi premis spa dan pusat urut di Asia City di sini terbongkar menerusi Operasi Bersepadu Ops Sapu yang dijalankan pelbagai agensi penguat kuasa, malam tadi.

Operasi yang berlangsung dari jam 10 malam hingga 3 pagi itu diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Mohd Haniff Abdullah, melibatkan pemeriksaan ke atas lima premis dan satu kawasan awam hasil risikan serta maklumat orang ramai.

Mohd Haniff berkata, beberapa premis dipercayai menutup operasi lebih awal selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, manakala penghuni bertindak bersembunyi di dalam bilik bagi mengelak dikesan.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membuka pintu premis yang berkunci selepas penghuni enggan memberi kerjasama.

“Seramai 55 individu diperiksa dan 12 daripadanya ditahan. Daripada jumlah itu, 10 wanita warga Vietnam ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang sah,” katanya.

Beliau berkata, tiga individu turut diberikan amaran oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS), manakala dua premis dikenakan kompaun oleh Jabatan Pelesenan kerana melanggar syarat lesen.
Selain itu, lima premis didapati melakukan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Operasi berkenaan disertai 86 anggota daripada DBKK, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Bandar dan Luar Bandar, Jabatan Pelesenan, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), JBPM serta JHEAINS.

Mohd Haniff berkata, Ops Sapu membuktikan kerjasama erat antara semua agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik premis refleksologi.

Menurutnya, operasi yang dirancang sejak sekian lama itu berjaya membongkar sindiket yang dipercayai didalangi warga asing termasuk dari Vietnam, Thailand dan Filipina.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala bagi membanteras kegiatan persundalan, penyalahgunaan lesen perniagaan serta pelanggaran undang-undang imigresen, sekali gus memastikan semua premis perniagaan di ibu negeri mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Sumber Utusan BORNEO

Exit mobile version