
Zainudin Aman Dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Baharu Mulai 29 Jun
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah mempersetujui pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah yang baharu, berkuat kuasa 29 Jun 2026.
Zainudin yang kini menyandang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan menggantikan Datuk Seri Panglima Safar Untong yang menamatkan perkhidmatannya pada 28 Jun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelantikan itu diharap dapat memastikan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah terus maju, berdaya saing dan mampu melaksanakan transformasi pentadbiran negeri secara berkesan.
Menurut beliau, usaha berterusan itu penting bagi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas khidmat cemerlang, dedikasi, kebijaksanaan serta integriti yang ditunjukkan sepanjang memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri sejak 2019.
Beliau berkata, sumbangan Safar banyak membantu memperkukuh pentadbiran negeri serta memastikan kelancaran pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan kerajaan.
Safar sebelum ini turut dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa 1 Jun 2026.
