
Tiga sekolah menengah di Tongod bergelap, pelajar ulang kaji guna lilin ok
TONGOD: Pelajar di tiga sekolah menengah di daerah ini terpaksa mengulang kaji pelajaran dalam keadaan bergelap susulan kerosakan dua transformer utama yang menjejaskan bekalan elektrik sejak minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, beliau menerima aduan daripada guru dan ibu bapa mengenai kesukaran yang dihadapi pelajar, termasuk terpaksa menggunakan cahaya lilin untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
Menurutnya, tiga sekolah yang terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Penangah dan SMK Entilibon.
Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menghadapi peperiksaan, manakala peperiksaan semester akhir STPM bermula pada 26 November ini.
“Saya mendapat aduan daripada guru dan ibu bapa bahawa pelajar terpaksa mengulang kaji menggunakan cahaya lilin di asrama dan di rumah sejak minggu lalu kerana ketiadaan bekalan elektrik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Masiung menggesa pihak pengurusan Sabah Electricity menambah bilangan set janakuasa bergerak di ketiga-tiga sekolah berkenaan bagi membantu calon peperiksaan membuat persiapan dalam keadaan lebih kondusif.
Katanya, walaupun empat unit set janakuasa berkapasiti 2,000kW telah digerakkan sebagai sokongan sementara di Tongod, bekalan tenaga berkenaan masih tidak mencukupi sehingga menjejaskan operasi pendidikan di tiga sekolah terbabit.
Masiung berkata, beliau sebelum itu menerima maklumat daripada Sabah Electricity bahawa transformer yang membekalkan tenaga elektrik di Tongod mengalami kerosakan sejak minggu lalu.
Beliau berharap tindakan segera dapat diambil bagi memulihkan bekalan elektrik dan memastikan pelajar, khususnya calon SPM dan STPM, tidak terus terjejas dalam membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
