Sabah First Info Blog Tempatan Papar: Lelaki ditahan selepas tiga insiden sensitif agama disiasat
Tempatan Utama

Papar: Lelaki ditahan selepas tiga insiden sensitif agama disiasat

Lelaki tempatan ditahan, disyaki terbabit tiga insiden sensitif agama di Papar

PAPAR: Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung tiga insiden yang menyentuh sensitiviti agama di dua rumah ibadat di daerah ini sejak September lalu.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pekan Kimanis kira-kira jam 4 petang hari ini hasil risikan dan siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan pada 17 September lalu serta dua insiden yang berlaku semalam.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta bagi membantu siasatan.

Menurutnya, telefon bimbit berkenaan dipercayai mengandungi rakaman video berkaitan perbuatan membakar bahan keagamaan.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi menentukan penglibatan suspek dalam ketiga-tiga kejadian berkenaan serta mengenal pasti motif sebenar.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Heryan berkata, insiden pertama dilaporkan pada 17 September lalu di sebuah rumah ibadat di Kelatuan apabila sehelai selendang bertulis slogan tertentu ditemukan dililit pada simbol keagamaan di premis berkenaan.

Insiden kedua pula berlaku di lokasi sama kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam apabila 18 cebisan kertas mengandungi tulisan Jawi serta tiga cebisan bendera Sabah ditemukan.

Sementara itu, dalam insiden ketiga kira-kira jam 4 petang semalam, beberapa helaian bahan keagamaan yang dikoyakkan ditemukan bertaburan di atas jalan raya berhampiran sebuah rumah ibadat di Kimanis.

Beliau menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, khususnya menerusi media sosial.

Heryan turut memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus, profesional dan menyeluruh.

Katanya, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.

Exit mobile version