Sabah First Info Blog Tempatan IPD dan Perumahan Polis Nabawan bernilai RM150 juta, dijangka mula dibina Januari 2027
Tempatan Utama

IPD dan Perumahan Polis Nabawan bernilai RM150 juta, dijangka mula dibina Januari 2027

IPD dan Perumahan Polis Nabawan bernilai RM150 juta, dijangka mula dibina Januari 2027

NABAWAN: Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis Nabawan dengan siling peruntukan RM150 juta dijangka memulakan pembinaan pada Januari 2027 bagi memperkukuh tahap keselamatan serta penyampaian perkhidmatan kepolisan di daerah itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, projek berkenaan merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang, khususnya di kawasan pedalaman yang bersempadan dengan Indonesia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan IPD dan Perumahan Polis Nabawan di sini, hari ini.

Hajiji menegaskan bahawa pelaksanaan projek itu perlu dilakukan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi serta standard ditetapkan bagi memastikan kemudahan yang dibina memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, kedudukan strategik Nabawan yang bersempadan dengan Indonesia memerlukan keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.

Katanya, usaha itu memerlukan penguatkuasaan bersepadu dan berterusan, selain pengukuhan aspek keanggotaan, infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran PDRM.

Beliau berkata, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan sejak 1976 kini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, sedangkan daerah itu mempunyai kawasan pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan IPD Nabawan merupakan langkah penting untuk menyediakan struktur kepolisan yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan keperluan keselamatan semasa.

Hajiji turut menegaskan bahawa penyediaan infrastruktur yang kondusif, dilengkapi teknologi terkini serta perumahan yang selesa merupakan keperluan penting bagi menjaga kebajikan anggota keselamatan, khususnya mereka yang bertugas di kawasan sempadan.

Katanya, keselamatan menjadi asas utama pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan memerlukan persekitaran yang aman, stabil dan selamat.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman turut menikmati perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.

Beliau berkata, pembangunan IPD Nabawan bukan sahaja memenuhi keperluan operasi PDRM, malah penting dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kebajikan anggota PDRM perlu terus diberikan perhatian kerana mereka merupakan barisan hadapan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; serta Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Exit mobile version