KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar kejayaan besar apabila menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah dalam tempoh sedekad menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 yang digerakkan secara bersepadu sejak 20 Januari lalu.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, operasi berkenaan diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Sabah serta beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Lembaga Pelabuhan Malaysia.
Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memerangi jenayah dadah yang mampu menggugat keselamatan negara.
“Sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh memberi kesan kepada kira-kira 16 juta individu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Operasi bermula dengan serbuan di sebuah rumah di Taman Landmark Phase 2, Penampang pada 20 Januari lalu yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan rampasan 548 kilogram (kg) methamphetamine serta 31kg pil ekstasi.
Serbuan susulan di Taman Perdana Fasa 1, Penampang pada hari sama menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing bersama 1.6kg methamphetamine. Seorang lagi wanita tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pemantau sindiket turut diberkas.
Pada 21 Januari, pasukan JSJN menyerbu sebuah premis logistik di Pelabuhan Klang, Selangor dan merampas 255kg methamphetamine yang dipercayai belum sempat dihantar ke Sabah.
Operasi kemudian diperluaskan ke Pelabuhan Teluk Sepanggar dan sebuah premis logistik di Inanam, membawa kepada rampasan 1,202kg dan 357kg methamphetamine, 59kg pil ekstasi, 51kg ketamin, 4kg cecair vape disyaki kokain serta 2.6kg pil Erimin 5.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan menggunakan laluan laut merentasi Laut China Selatan. Kontena di premis logistik dijadikan lokasi penyimpanan sementara sebelum dadah diedarkan ke pasaran antarabangsa.
Secara keseluruhan, rampasan melibatkan 3,043.5kg methamphetamine, 102.5kg ketamin, 90kg pil ekstasi, 4kg cecair vape disyaki kokain dan 2.6kg pil Erimin 5.
Selain rampasan dadah, tindakan sitaan turut dilaksanakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan harta bernilai kira-kira RM1 juta termasuk kenderaan, motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM504,850, jam tangan mewah dan barang kemas.
Empat suspek telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Dua individu lain pula dibebaskan dengan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan.
PDRM menegaskan akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan rangkaian sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya.
