Sabah First Info Blog Ekonomi 86 PATI Dicekup Dalam Operasi Imigresen Di Kota Kinabalu
Ekonomi

86 PATI Dicekup Dalam Operasi Imigresen Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada 10 Jun lalu.

Operasi yang dilaksanakan hasil aduan awam itu melibatkan 24 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah dan memeriksa seramai 125 individu.

Daripada jumlah yang diperiksa, 86 individu terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut JIM Sabah, siasatan awal mendapati semua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Sabah menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin kepada pihak berkuasa.

Menurut jabatan itu, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

Exit mobile version