Sabah First Info Blog Ekonomi Serbuan Imigresen Kota Kinabalu: 18 PATI Dicekup Dalam Operasi Mahir Dan Kutip
Ekonomi

Serbuan Imigresen Kota Kinabalu: 18 PATI Dicekup Dalam Operasi Mahir Dan Kutip

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan imigresen yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

 

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook rasmi JIM Sabah, operasi berkenaan melibatkan Operasi Mahir dan Operasi Kutip yang dikendalikan Unit Operasi Imigresen Kota Kinabalu dengan kekuatan seramai 35 pegawai.

 

Menurut kenyataan itu, seramai 134 individu telah diperiksa sepanjang operasi melibatkan warganegara Malaysia, Filipina, Indonesia dan Pakistan.

 

“Hasil pemeriksaan, seramai 18 warganegara asing ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

 

“Daripada jumlah itu, 17 orang adalah warganegara Filipina terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita dan lima kanak-kanak, manakala seorang lagi adalah lelaki warganegara Pakistan,” katanya.

 

JIM Negeri Sabah menegaskan akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negara ini.

Exit mobile version