Sabah First Info Blog Tempatan Sejarah Baharu Sabah: Solar Terapung RM63 Juta Kini Beroperasi!
Tempatan Utama

Sejarah Baharu Sabah: Solar Terapung RM63 Juta Kini Beroperasi!

KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan tenaga lestari dengan pelancaran projek solar terapung pertama di Empangan Babagon, Penampang, yang dibangunkan oleh JETAMA Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM63 juta.

 

Projek berkapasiti 13.2 megawatt (MW) itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

 

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata inisiatif ini juga penting bagi menyokong kestabilan bekalan elektrik, khususnya di kawasan yang sering berdepan gangguan bekalan.

 

Menurutnya, apabila digabungkan dengan satu lagi ladang solar di Batu Sapi yang berkapasiti 15 MW, Sabah bakal menambah sebanyak 28.2 MW tenaga baharu ke dalam grid elektrik negeri.

“Walaupun kapasiti ini bukanlah terlalu besar, ia menjadi permulaan yang signifikan ke arah pembangunan tenaga hijau yang lebih meluas di Sabah,” katanya selepas majlis pelancaran projek tersebut.

 

Sementara itu, CEO JETAMA Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang, memaklumkan bahawa projek Babagon menelan kos RM63 juta, manakala projek di Batu Sapi memerlukan pelaburan RM53 juta, dengan kedua-duanya mempunyai tempoh operasi selama 25 tahun.

 

Kerajaan negeri berharap kejayaan projek ini akan menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.

 

Exit mobile version