
Sabah Sasar SSL Beras 30 Peratus Menjelang 2030
KENINGAU: Sabah menyasarkan kadar Sara Diri (SSL) beras negeri ini meningkat kepada kira-kira 30 peratus menjelang 2030 menerusi dua strategi utama iaitu membuka semula kawasan sawah padi terbiar dan meningkatkan hasil pengeluaran padi menggunakan teknologi moden.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini kadar SSL beras Sabah hanya sekitar 19 peratus, sekali gus menunjukkan negeri ini masih bergantung kepada bekalan beras import.
Beliau berkata, sasaran itu penting bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik dan krisis tenaga yang boleh menjejaskan bekalan beras daripada negara pengeksport seperti Vietnam dan Thailand.
Menurutnya, Sabah mempunyai kira-kira 4,000 hektar kawasan sawah terbiar dan pembukaan semula 2,000 hektar menjelang 2030 dijangka mampu meningkatkan SSL negeri sekitar 10 peratus.
Selain itu, kerajaan turut menyasarkan peningkatan hasil pengeluaran padi daripada purata tiga tan sehektar kepada lima hingga enam tan sehektar dalam tempoh lima tahun melalui penggunaan teknologi, mekanisasi, dron dan amalan pertanian yang lebih cekap.
Jamawi turut mendedahkan beliau menerima banyak aduan mengenai kekurangan bekalan air untuk pengairan sawah di beberapa kawasan di Keningau sehingga menyebabkan ada petani gagal menanam padi selama dua hingga tiga musim.
Katanya, sistem pengairan di Kepayan Baru telah dipulihkan dan sedia digunakan semula bagi musim penanaman akan datang, manakala masalah di Skim Pengairan Penagatan berjaya diatasi selepas kerja pembaikan muka sauk dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi.
Beliau berkata, antara punca utama kerosakan sistem pengairan ialah aktiviti pengorekan batu pasir oleh kuari berhampiran muka sauk yang menyebabkan paras sungai menjadi cetek dan menjejaskan pengambilan air.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi kerajaan dan pentadbiran daerah memperketatkan penguatkuasaan serta tidak meluluskan operasi kuari berhampiran sistem pengairan sawah bagi mengelakkan kerosakan berulang.
Jamawi berkata, beliau juga akan meninjau beberapa lagi kawasan yang berdepan masalah pengairan termasuk di Bingkor dan Skim Bumburing II, Apin-Apin, dengan kerja pemulihan sistem pengairan di Skim Bumburing II dijangka bermula pada penghujung tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Sukan Dwi Tahunan Kelab Sukan dan Hiburan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah Ke-26 di Kompleks Sukan Keningau. Turut hadir Pengarah JPS Sabah, Ir. Hj. Siraja Hj. Bashora; Presiden Kelab Sukan dan Hiburan JPS Sabah, Miklin Ationg serta Pengerusi Penganjur, Jason Sondoh, Lahaman Dahing dan Romae Tati.
Sumber WartaOriental
