Sabah First Info Blog Tempatan RM1.61 Bilion Perkukuh Pentadbiran, Pembangunan Sabah Hingga Akhir 2026
Tempatan Utama

RM1.61 Bilion Perkukuh Pentadbiran, Pembangunan Sabah Hingga Akhir 2026

Sabah Bentang RUU Bekalan Tambahan RM1.6126 Bilion Bagi Keperluan Operasi Kerajaan Negeri

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Tambahan 2026 melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.6126 bilion bagi memastikan operasi Kerajaan Negeri berjalan lancar sehingga penghujung tahun ini.

Masidi berkata, peruntukan tambahan itu melibatkan 53 kepala perbelanjaan yang diperincikan dalam Penyata Anggaran Bekalan Tambahan 2026.

Menurut beliau, sebanyak RM856 juta atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun, diikuti perbelanjaan operasi RM278 juta, pelaburan RM210 juta, perbelanjaan pentadbiran RM162 juta, geran dalam negeri RM93 juta dan peruntukan khas RM13 juta.

Katanya, sebahagian besar peruntukan RM856 juta itu bukan melibatkan aliran keluar tunai, sebaliknya merupakan pelarasan perakaunan melalui pemindahan dalaman atau book transfer bagi mematuhi peraturan kewangan berkaitan.

“Daripada jumlah itu, RM700 juta merupakan caruman tambahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau berkata, tambahan RM90 juta pula diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun bagi operasi dan penyelenggaraan jalan raya serta jambatan, manakala RM66 juta disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Khas Kerajaan Negeri bagi projek infrastruktur asas termasuk bekalan air, jalan raya, utiliti serta program pembasmian kemiskinan.

Selain itu, Masidi berkata sebanyak RM264.24 juta dicadangkan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan termasuk RM210 juta bagi pelaburan ekuiti, geran dalam negeri serta kerja pembersihan perairan pantai di Kota Kinabalu dan Semporna.

Beliau turut memaklumkan beberapa kementerian negeri menerima tambahan peruntukan antaranya Jabatan Ketua Menteri dan agensinya sebanyak RM86 juta bagi biasiswa serta program bantuan pendidikan seperti BUDI, SENTOSA, SUBFLY dan SUKSES.

Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan pula dicadangkan menerima tambahan RM43 juta, manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pejabat daerah menerima RM30.6 juta termasuk bayaran elaun JKKK.

Bagi sektor belia, sukan dan ekonomi kreatif, tambahan RM24 juta dicadangkan bagi persiapan penyertaan Sukma Ke-22 serta penganjuran Sukan BIMP-EAGA 2026.

Sementara itu, Masidi turut mencadangkan Anggaran Pembangunan Tambahan 2026 berjumlah RM435.54 juta melibatkan 35 kepala perbelanjaan di bawah sembilan kementerian.

Daripada jumlah itu, RM216.34 juta akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Negeri manakala RM219.20 juta melalui pinjaman Persekutuan.

Antara fokus utama peruntukan pembangunan tambahan itu ialah sektor bekalan air dan pembetungan, termasuk penggantian paip utama serta projek pembetungan negeri.

Peruntukan lain termasuk RM62.58 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi projek kecil pembangunan, peruntukan khas ADUN, jambatan kecil luar bandar, program BALBA dan Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS).

Selain itu, RM60 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan bagi projek infrastruktur asas dan kemudahan awam yang memerlukan tindakan segera, manakala Jabatan Ketua Menteri menerima RM55 juta bagi projek pembangunan khas serta pengambilan tanah.

Sumber Warta Oriental

Exit mobile version