Sabah First Info Blog Tempatan Pengalihan Utiliti Antara Punca Kelewatan Projek Pan Borneo Sabah
Tempatan Utama

Pengalihan Utiliti Antara Punca Kelewatan Projek Pan Borneo Sabah

 

KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti termasuk pemindahan tiang elektrik dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, proses pengalihan utiliti bukan sahaja melibatkan tiang elektrik, malah turut membabitkan kabel telekomunikasi dan aset utiliti lain dalam jajaran pembinaan.

Beliau berkata, kerja pembinaan tidak dapat diteruskan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada kerana melibatkan aspek keselamatan, risiko gangguan bekalan dan kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.

Menurutnya, proses pengalihan utiliti merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja pengalihan.

Menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Ir. Chin Shu Ying pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata faktor lain yang turut mempengaruhi kemajuan projek ialah pengambilan tanah, keadaan geoteknik, isu teknikal di tapak serta prestasi kontraktor mengikut pakej masing-masing.

Dr. Joachim berkata, kerajaan memperkukuh penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan mesyuarat berkala di tapak, selain membawa isu kritikal ke peringkat kementerian berkaitan di Persekutuan bagi mempercepatkan penyelesaian.

Beliau berkata, bagi projek infrastruktur akan datang, kerajaan akan memberi penekanan kepada penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum pembinaan dimulakan bagi mengurangkan risiko kelewatan.

Katanya, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut perancangan serta memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri.

Exit mobile version