
kos RM15.7 bilion, akan diselesaikan November ini.
Selain itu, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 km melibatkan kos hampir RM74 bilion mula dilaksanakan penghujung tahun ini, di samping kerajaan akan terus mensubsidi pengangkutan udara sebanyak RM209 juta untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Bagi mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu masuk antarabangsa, Perdana Menteri berkata tujuh pos imbangan akan dibina tahun depan antaranya di Melikin dan Pa’Daleh di Sarawak, selain pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning di Pulau Sebatik, Sabah serta melaksanakan kerja awalan pembinaan dua Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan, Sabah.
Tahun depan juga, sebanyak 26 bangunan prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta termasuk di Sekolah Kebangsaan Abang Kadir Gedong di Simunjan, Sarawak selain sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri antaranya untuk mempergiat aktiviti kebudayaan Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen yang menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak juga akan diperluaskan di tiga lagi pusat penempatan, masing-masing satu di Sabah dan Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan RM10 juta.
“Sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi turut akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Likas, Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching Fasa 2 (Sarawak).
“Selain itu, sejumlah RM80 juta disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang (Kedah) dan Pantai Teluk Kemang (Negeri Sembilan),” kata beliau.
— BERNAMA
