
8,935 ayam sabung bernilai RM8.9 juta disita PGA
KOTA KINABALU: Sebanyak 8,935 ayam sabung bernilai RM8.935 juta disita Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Kandang Bersepadu di lapan daerah di Sabah, semalam.
Rampasan itu menjadi komponen terbesar daripada keseluruhan nilai sitaan dan rampasan berjumlah RM9.602 juta dalam operasi membanteras kegiatan perlagaan ayam dan perjudian haram.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, sebanyak 14 serbuan dijalankan dalam operasi selama 10 jam bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
Katanya, serbuan dilaksanakan di Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu dan Kota Marudu.
“Seramai 128 pegawai dan anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi turut disertai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Hasil serbuan, 16 lelaki berusia antara 31 hingga 70 tahun ditahan, membabitkan 13 warga tempatan dan tiga warga asing.
Nor Omar berkata, selain ayam sabung, pelbagai peralatan bernilai RM650,470 turut disita.
Turut dirampas ialah seekor musang mati bernilai RM4,000, duri landak bernilai RM11,540 dan sisik tenggiling bernilai RM500.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Haiwan Sabah 2015, Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Tindakan turut diambil mengikut undang-undang kecil berkaitan pelesenan penggunaan premis.
Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut.
Nor Omar berkata, PGA akan meneruskan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perlagaan ayam dan perjudian haram di Sabah.
