
GRS perkukuh kekuatan, tampil sebagai rumah besar penyatuan politik Sabah
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh kedudukannya sebagai wadah penyatuan politik tempatan susulan perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul, berkata penyertaan UPKO ke dalam GRS, kemasukan ahli dan penyokong baharu serta sokongan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas menunjukkan gabungan itu semakin mempunyai asas sokongan yang luas.
Menurutnya, GRS bukan sekadar gabungan politik, sebaliknya berpotensi menjadi ‘rumah besar’ yang menghimpunkan parti, pemimpin, tokoh masyarakat dan rakyat yang berkongsi aspirasi untuk membangunkan Sabah.
Katanya, penyatuan tidak bermaksud semua pihak perlu mempunyai pandangan sama dalam setiap perkara, sebaliknya perbezaan boleh dibincangkan melalui rundingan dengan kepentingan rakyat dan negeri menjadi keutamaan.
“Sabah tidak kekurangan parti politik. Apa yang lebih diperlukan ialah penyatuan kekuatan politik yang sedia ada supaya tenaga politik tidak terus dihabiskan untuk bersaing sesama sendiri.
“Sebaliknya, kekuatan itu perlu digembleng untuk membawa pembangunan, kestabilan dan kepentingan Sabah,” katanya dalam kenyataan bertarikh 12 Ogos.
Azrul berkata, terlalu banyak gabungan politik dengan asas berbeza berisiko mewujudkan perpecahan sokongan dan persaingan sesama kekuatan tempatan, sekali gus boleh menjejaskan kesinambungan pentadbiran serta perancangan pembangunan.
Beliau berkata, GRS melihat penyatuan sebagai pendekatan lebih konstruktif dengan setiap parti masih boleh mengekalkan identiti masing-masing sambil mencari titik temu dalam agenda lebih besar.
Menurutnya, kestabilan politik memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab, manakala kesatuan politik pula memberikan kekuatan untuk membawa agenda Sabah dengan lebih berkesan.
“Sabah tidak memerlukan lebih banyak perpecahan. Sabah memerlukan lebih banyak penyatuan dan kerjasama yang berteraskan kepentingan rakyat serta negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri pimpinan GRS perlu terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur, peluang pekerjaan, pendidikan dan modal insan serta penyelesaian isu asas rakyat.
Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), GRS dijangka terus memperkukuh kesatuan, memperluas kerjasama dan membuka ruang kepada pihak yang mempunyai komitmen bersama untuk membina Sabah yang lebih stabil, maju dan sejahtera.
“Pada akhirnya, kekuatan sesebuah gabungan bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi atau kehebatan naratif politik, tetapi melalui keupayaannya menyatukan kekuatan, membentuk kerajaan yang stabil dan bekerja untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
