
PENAMPANG: Polis Daerah Penampang menafikan sekeras-kerasnya penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penerbitan satu infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang kini tular di pelbagai platform media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh PDRM.
Kandungan tersebut didapati menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian menyerupai bahan rasmi serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran bagi mengelirukan orang ramai.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terlibat.
Polis memberi amaran bahawa mana-mana individu yang terlibat dalam penerbitan atau penyebaran infografik tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika penyebaran melibatkan gambar atau maklumat kanak-kanak, tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum disahkan kesahihannya dan hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu itu diminta menyalurkannya kepada IPD Penampang bagi membantu siasatan.
