
Kerajaan digesa kaji semula dasar tambang penerbangan Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan digesa mengkaji semula dasar tambang penerbangan domestik bagi memastikan harga tiket antara Sabah dan Semenanjung lebih adil serta mampu milik.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Pengerusi LDP Bahagian Api-Api, Sim Fui berkata, tambang penerbangan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai urusan komersial kerana pengangkutan udara merupakan keperluan penting bagi rakyat Sabah.
Menurutnya, kenaikan tambang bukan sahaja berlaku ketika musim perayaan, malah turut membebankan rakyat pada musim cuti sekolah, cuti umum dan tempoh perjalanan puncak.
Beliau menyambut baik langkah kerajaan menyediakan subsidi tambang sempena musim perayaan, termasuk tambang asas ekonomi sehala maksimum RM499 bagi penerbangan yang layak antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagaimanapun, katanya, mekanisme berkenaan perlu diperluaskan menerusi dasar lebih menyeluruh melalui Mekanisme Tambang Penerbangan Adil untuk Sabah bagi menangani kenaikan tambang secara lebih berkesan.
“Rakyat Sabah bukan meminta layanan istimewa, kita hanya meminta layanan yang adil.
“Sudah tiba masanya dasar penerbangan negara mengambil kira realiti geografi dan keperluan rakyat Sabah,” katanya.
Sim Fui berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk memperluas perlindungan tambang ketika tempoh permintaan tinggi, menyediakan bantuan bersasar kepada pelajar dan golongan berpendapatan rendah serta meningkatkan kapasiti penerbangan pada musim puncak.
Beliau turut mencadangkan mekanisme pemantauan tambang yang lebih telus serta campur tangan kerajaan sekiranya harga tiket bagi laluan domestik utama meningkat pada tahap tidak munasabah.
Katanya, hubungan udara yang mampu milik penting bukan sahaja bagi mobiliti rakyat, malah turut menyokong pendidikan, kesihatan, pekerjaan, hubungan kekeluargaan, pelancongan dan pembangunan ekonomi Sabah.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan bekerjasama dengan kerajaan Sabah, syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan untuk membangunkan mekanisme tambang yang lebih adil, telus dan mampan.
Sumber Utusan Borneo
