
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam, manakala akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak lagi dapat dikesan.
Menurut kenyataan itu, pemantauan lanjut turut menemukan beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan terhadap agama yang dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.
“Semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.
MCMC berkata pihaknya kini bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu yang terlibat.
Dalam masa sama, MCMC turut menjalinkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.
Suruhanjaya itu menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.
