
Lelaki 31 Tahun Maut Dipercayai Ditikam Dalam Pergaduhan di Sulaman Sentral
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun maut selepas dipercayai ditikam dalam kejadian pergaduhan di tangga berhampiran sebuah premis perniagaan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi selepas dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya dalam keadaan kritikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu berkata, pihak polis menerima maklumat daripada Jabatan Kecemasan Hospital Likas pada jam 6.43 pagi berhubung kejadian berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 38 tahun dipercayai bertengkar dengan seorang penjual makanan di luar sebuah kafe sebelum cuba menyerangnya menggunakan pisau lipat.
Penjual makanan terbabit sempat melarikan diri, namun dikejar oleh suspek.
Mangsa yang berada di sebuah pusat snuker berhampiran dipercayai cuba menghalang suspek daripada terus mengejar penjual makanan berkenaan.
Bagaimanapun, suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging dan menyerang mangsa ketika mereka terserempak di tangga berhampiran premis tersebut.
Mangsa sempat melarikan diri sebelum rebah di kawasan parkir kenderaan berhampiran.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan terbabit.
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemui beberapa barang kes serta sampel untuk dianalisis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, manakala bedah siasat dijadualkan pada 15 November 2026 bagi menentukan punca sebenar kematian.
Sumber: Kenyataan Media Polis Daerah Kota Kinabalu
