Sabah First Info Blog Ekonomi JPN Sabah Tahan Dua Wanita Di Tawau, Kes Maklumat Palsu Permohonan IC
Ekonomi

JPN Sabah Tahan Dua Wanita Di Tawau, Kes Maklumat Palsu Permohonan IC

TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan dua wanita dalam dua kes berasingan kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri di daerah ini.
Menurut kenyataan JPN Sabah, tangkapan pertama melibatkan seorang wanita tempatan yang ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di pejabat JPN Tawau ketika sedang berurusan di kaunter. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan disyaki memberikan maklumat tidak benar sebagai pemohon bagi urusan daftar lewat kad pengenalan.

 

 

Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa butiran yang dikemukakan tidak sepadan dengan rekod rasmi jabatan, sekali gus menimbulkan keraguan sebelum tindakan penahanan dibuat bagi membantu siasatan.
Dalam kes berasingan, seorang wanita warga emas ditahan kira-kira jam 2 petang di lokasi sama selepas disyaki memberi maklumat palsu sebagai penganjur dengan mengaku sebagai ibu kepada pemohon semasa urusan permohonan kad pengenalan di JPN Kinabatangan.

 

Tindakan itu terbongkar selepas dokumen sokongan serta keterangan yang diberikan didapati tidak selari dengan rekod jabatan.

 

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat JPN Tawau bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

 

Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

JPN Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memalsukan maklumat atau menyalah guna dokumen pengenalan diri, selain akan terus memperketat penguatkuasaan bagi melindungi integriti sistem pendaftaran negara.

Exit mobile version