Sabah First Info Blog Tempatan Jamawi: Keselamatan Pengguna Jalan Raya Jadi Keutamaan di Tenom
Tempatan Utama

Jamawi: Keselamatan Pengguna Jalan Raya Jadi Keutamaan di Tenom

TENOM: Lampu-lampu jalan raya di daerah ini, khususnya di kawasan berisiko, akan diselenggara secara berperingkat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha itu akan dipantau secara berterusan bagi memastikan semua lampu jalan milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) berfungsi dengan baik.

Menurutnya, wakil beliau bersama pegawai daripada agensi berkaitan telah turun padang untuk memeriksa keadaan tiang dan lampu jalan di sekitar Tenom.

“Kita akan memastikan lampu-lampu jalan raya di Tenom, terutama di lokasi berisiko, diselenggara secara berperingkat supaya keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” katanya.

Pemantauan itu diwakili Pegawai Khas beliau, Mohd. Nizam Ag. Kassim, bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.42 Melalap, wakil Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), pihak Sabah Electricity (SE) Tenom dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenom.

Jamawi berkata, pemantauan berkala penting bagi mengenal pasti lampu jalan yang rosak atau memerlukan penyelenggaraan segera, khususnya di kawasan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

Beliau turut memaklumkan bahawa UPPM sebelum ini telah mengadakan kunjungan hormat ke beberapa jabatan berkaitan bagi membincangkan isu lampu jalan di sekitar Tenom supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

Katanya, kerjasama erat antara semua agensi amat penting demi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat digunakan serta menyokong pembangunan daerah Tenom.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat melalui penyelenggaraan kemudahan awam.

Exit mobile version