Sabah First Info Blog Tempatan ESS Zone Kekal Selamat, Sabah Sasar Tarik Lebih Ramai Pelancong Asing
Tempatan Utama

ESS Zone Kekal Selamat, Sabah Sasar Tarik Lebih Ramai Pelancong Asing

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu perkembangan positif aspek keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi membolehkan mereka menilai semula serta mempertimbangkan untuk menurunkan tahap nasihat perjalanan ke Pantai Timur Sabah, susulan rekod keselamatan yang semakin baik, termasuk ketiadaan kes penculikan untuk wang tebusan sejak Januari 2020.

Menurutnya, langkah tersebut dijangka meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa sekali gus merancakkan sektor pelancongan di Pantai Timur Sabah yang terkenal dengan pelbagai destinasi menarik.

Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Zon ESS bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Menara Kinabalu, hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di Zon ESS kini berada pada tahap baik dan kekal terkawal, hasil kerjasama erat semua agensi keselamatan.

Katanya, lawatan beliau ke enam pulau di perairan Sabah baru-baru ini turut memberi peluang meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan operasi anggota keselamatan di lapangan.

Hajiji menyifatkan tempoh enam tahun tanpa sebarang kes penculikan untuk wang tebusan sebagai satu pencapaian besar hasil usaha berterusan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi keselamatan lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan perairan serta daratan Pantai Timur Sabah terus terpelihara.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi, meningkatkan aset, mempertingkat kesiapsiagaan serta menambah baik kebajikan anggota keselamatan.

Exit mobile version