
Petronella Douny Cipta Sejarah, Wanita Pertama Malaysia Miliki Lesen AFC Pro Diploma
KOTA KINABALU: Anak jati Kiulu, Petronella Douny mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama di Malaysia memperoleh Lesen Kejurulatihan AFC Pro Diploma, sekali gus mengharumkan nama Sabah dalam arena bola sepak negara.
Kejayaan itu merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja buat Sabah, malah membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.
Petronella yang kini berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah memperoleh kelayakan berprestij itu selepas menamatkan kursus JFA-AFC Diploma Course for Elite Female Coaches selama setahun tiga bulan.
Bekas pemain kebangsaan berusia 39 tahun itu memulakan latihan pada September 2024 menerusi empat modul yang berlangsung di Jepun dan China.
Kelayakan berkenaan disahkan secara rasmi pada 13 Oktober lalu selepas beliau menjalani penilaian akhir bersama tenaga pengajar utama dari Jepun, Takeshi Ono, termasuk penilaian bersama Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah.
Mengulas kejayaannya, Petronella berkata beliau berasa gembira dan bangga, namun menyedari kelayakan itu turut membawa tanggungjawab lebih besar.
Beliau berhasrat menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk membantu pembangunan bola sepak wanita di Sabah dan seluruh Malaysia, selain membuka lebih banyak peluang kepada generasi pemain akan datang.
Petronella turut mengakui perjalanan mendapatkan kelayakan itu bukan mudah, namun keinginan untuk memberikan yang terbaik ketika mewakili Malaysia menjadi pendorong utama.
Sementara itu, Sabah Football Association (Sabah FA) turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian bersejarah berkenaan.
Sabah FA berharap kejayaan Petronella menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang kejurulatihan dan memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak negara.
Kejayaan itu sekali lagi membuktikan anak Sabah mampu mencipta pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
