Tempatan Utama

Penanda Arah Kiblat Dipasang di Laluan Pendakian Gunung Kinabalu

Penanda Arah Kiblat Dipasang di Laluan Pendakian Gunung Kinabalu

KUNDASANG: Pendaki Muslim yang menawan Gunung Kinabalu kini boleh menentukan arah kiblat dengan lebih mudah apabila penanda arah kiblat dipasang di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian gunung tertinggi di Malaysia itu.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Misi Menawan Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama.

Penanda arah kiblat itu terlebih dahulu disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah bagi memastikan ketepatan arah, sekali gus membantu pendaki Muslim menunaikan solat sepanjang perjalanan menuju ke puncak.

Kemudahan berkenaan dilihat penting memandangkan pendakian Gunung Kinabalu mengambil masa berjam-jam, selain melalui laluan berbatu dan berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurut perkongsian Dr Zulkifli pada Isnin, pemasangan penanda arah kiblat itu merupakan antara pengisian utama misi berkenaan.

Beliau berkata, rombongan mengambil masa kira-kira lima jam untuk tiba di Panalaban pada jam 3 petang dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan sebelum membuat persediaan untuk meneruskan pendakian ke puncak pada tengah malam.

Katanya, perjalanan itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memberi peluang kepada peserta menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT sepanjang pendakian.

Selain aktiviti pendakian, program berkenaan turut merangkumi aktiviti santunan komuniti di Kampung Mesilou menerusi agihan bakul makanan, saringan kesihatan oleh Malaysian Relief Agency (MRA), kaunter perkhidmatan Tabung Haji serta bengkel tahsin ibadah dan diskusi agama bersama Timbalan Mufti Negeri Sabah.

Dalam program sama, rombongan turut menyantuni malim gunung di Kinabalu Park menerusi sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan sebagai penghargaan terhadap jasa serta komitmen mereka dalam membantu dan menjaga keselamatan pendaki.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung dan komuniti setempat, khususnya penduduk Kampung Mesilou, atas kerjasama menjayakan program berkenaan.

Leave feedback about this

  • Rating