
Keluarga pemilik Hilux Vigo mohon maaf atas pemanduan cemas di Jalan Putatan, rayu orang ramai sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham
PUTATAN, 12 November – Keluarga pemilik sebuah Toyota Hilux Vigo bernombor pendaftaran SU262D tampil memohon maaf kepada pengguna jalan raya susulan tindakan pemanduan cemas di sekitar Jalan Putatan, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Menerusi satu hantaran di Facebook, wakil keluarga menjelaskan kenderaan terbabit dipandu oleh adik lelaki mereka yang ketika itu sedang membawa ahli keluarga ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurut kenyataan itu, tindakan memotong kenderaan lain dan membunyikan hon dilakukan kerana keadaan kecemasan yang memerlukan mereka tiba di hospital dengan segera.
Pemandu berkenaan turut dikatakan telah memberikan isyarat kepada pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, keluarga memaklumkan bahawa Allahyarham Abdul Majid yang turut berada di dalam kenderaan berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan sekitar jam 12.02 tengah hari pada 12 November 2026.
Sehubungan itu, wakil keluarga memohon maaf sekiranya tindakan pemanduan tersebut menimbulkan ketidakselesaan atau rasa kurang senang dalam kalangan pengguna jalan raya.
Dalam hantaran sama, keluarga turut merayu orang ramai agar mendoakan Allahyarham serta menghadiahkan bacaan Surah Al-Fatihah buat arwah.
Keluarga turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memahami situasi mereka dan memberikan sokongan ketika berdepan detik sukar itu.
Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Abdul Majid. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Ann Thesound


Leave feedback about this