Tempatan Utama

Sampah dan kebersihan Semporna dibimbangi jejas imej pelancongan

Sampah dan kebersihan Semporna dibimbangi jejas imej pelancongan

SEMPORNA: Isu sampah dan kebersihan yang berlarutan di Semporna berisiko menjejaskan imej daerah itu sebagai antara destinasi pelancongan utama Sabah, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan pengusaha industri pelancongan tempatan.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Anyrishah Mohd Shah berkata, masalah berkenaan bukan sahaja melibatkan aspek kebersihan, malah boleh menjejaskan pengalaman pelancong serta kelestarian ekosistem marin.

Menurutnya, pencemaran sampah berpotensi menghakis keyakinan pelawat tempatan dan antarabangsa terhadap keindahan Semporna yang terkenal dengan pelancongan pulau, aktiviti marin dan selam skuba.

“Sekiranya tidak ditangani secara berkesan, pencemaran sampah boleh memberi kesan jangka panjang kepada pengusaha pelancongan, pengusaha bot, pemandu pelancong, pengusaha inap desa serta komuniti setempat yang bergantung kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan memperkukuh pengurusan sisa pepejal melalui jadual kutipan sampah yang lebih sistematik serta penambahan tong sampah di lokasi strategik.

Katanya, pengurusan sisa di kawasan pekan, jeti dan pulau pelancongan perlu dilaksanakan secara teratur dan konsisten bagi memastikan kebersihan destinasi berkenaan sentiasa terpelihara.

Beliau turut menegaskan kepentingan mempergiat kempen kebersihan secara berterusan dengan melibatkan pengusaha pelancongan, komuniti kampung, agensi kerajaan dan pelancong.

“Penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah secara haram juga perlu dipertingkatkan, di samping menggalakkan amalan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan membawa pulang sisa dari pulau.

“Isu ini memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh hanya bergantung kepada pihak berkuasa kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Anyrishah berkata, usaha memelihara kebersihan Semporna bukan sahaja penting untuk menarik lebih ramai pelancong, malah bagi melindungi alam sekitar dan memastikan kelangsungan sumber pendapatan masyarakat setempat.

Katanya, tindakan menyeluruh dan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan keindahan alam semula jadi Semporna terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Leave feedback about this

  • Rating