Tempatan Utama

Murid 11 Tahun Cedera Parah Dilanggar Kereta Ketika Melintas ke SK Darau

Murid 11 Tahun Cedera Parah Dilanggar Kereta Ketika Melintas ke SK Darau

KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, di sini, kira-kira jam 6.10 pagi tadi.

Mangsa dilaporkan mengalami pendarahan di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 69 tahun dari arah pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa sedang melintas jalan menggunakan laluan pejalan kaki dari arah kanan ke kiri.

“Bagaimanapun, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta berkenaan gagal mengelak lalu melanggar murid terbabit di lorong kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu, murid berkenaan tercampak ke hadapan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam di talian 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial.

Rakaman berkenaan menunjukkan mangsa turun dari sebuah Perodua Bezza di seberang jalan sebelum berjalan melintasi laluan zebra untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah pekan Manggatal melanggar mangsa ketika dia sedang melintas sehingga menyebabkan murid itu tercampak ke hadapan.

Kejadian itu mengundang perhatian pengguna media sosial selepas rakaman berkenaan tersebar secara meluas.

Leave feedback about this

  • Rating