Tempatan Utama

Joniston Agih 1,000 Tunas Vanila Perkasa Agropelancongan

TUARAN: Sebanyak 1,000 tunas vanila diagihkan kepada pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan penduduk setempat sebagai usaha memperkasa pembangunan agropelancongan di Kiulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, tanaman vanila mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan penduduk selain menambah daya tarikan sektor agropelancongan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja membantu memperbaiki taraf hidup masyarakat, malah mampu mewujudkan sumber ekonomi baharu melalui penghasilan tanaman bernilai tinggi.

“Kita mahu membantu masyarakat meningkatkan pendapatan di samping terus memperbaiki kemudahan infrastruktur. Apabila ekonomi keluarga bertambah baik, taraf kehidupan penduduk juga akan meningkat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Sembang Santai Komuniti MADANI di Dewan Sri Rantaka, Kampung Simpangan Lama, Kiulu, pada Isnin.

Beliau turut menyokong penganjuran Program Sembang Santai Komuniti MADANI yang dianjurkan Pejabat Penerangan Daerah Tuaran dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Rungus Nabaha kerana disifatkan mampu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif kerajaan.

Program itu dimulakan dengan sesi perkongsian isu semasa oleh Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Nur Azean Makbul, diikuti taklimat daripada Jabatan Pertanian Tuaran serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tuaran mengenai bantuan dan inisiatif kepada komuniti.

Turut diadakan Taklimat Penanaman Vanila yang disampaikan Pengurus My Kebun Vanilla Kinarut, Leo Komuji, yang berkongsi potensi tanaman vanila sebagai sumber pendapatan baharu dan produk bernilai tinggi dalam sektor pertanian serta agropelancongan.

Leave feedback about this

  • Rating