
KOTA KINABALU: Juara Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Gelvia Vanessa Jenny, terus mengharumkan nama Sabah apabila dipilih sebagai Selebriti Khas Shopee sempena Shopee Seller Summit 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd. Ali, mengucapkan tahniah kepada anak Kampung Gana, Papar itu atas pengiktirafan berkenaan, selain merakamkan penghargaan kepada Shopee Malaysia atas pemilihannya.
Menurut beliau, pada usia 24 tahun, Gelvia yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik dan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik.
Sebaliknya, katanya, kecemerlangan turut terserlah menerusi keperibadian, keyakinan diri serta penghargaan terhadap warisan budaya.
“Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan yang mengangkat kecantikan paras rupa, sebaliknya merupakan platform yang menonjolkan wanita Sabah yang berilmu, bijaksana, berpekerti mulia serta mampu menjadi duta budaya dan warisan negeri.
“Saya percaya nilai-nilai inilah yang turut menjadikan Gelvia sebagai inspirasi kepada generasi muda,” katanya.
Pemilihan Gelvia sebagai Selebriti Khas Shopee dilihat sebagai satu lagi pengiktirafan terhadap bakat dan potensi anak muda Sabah di pentas nasional, sekali gus memperkukuhkan imej negeri sebagai penyumbang kepada pembangunan bakat serta pemeliharaan warisan budaya.


Leave feedback about this