
KINABATANGAN: Sekumpulan 11 ekor Borneo pygmy elephant termasuk seekor anak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, pada 9 Mei lalu.
Jabatan Hidupan Liar Sabah memaklumkan kejadian dipercayai berlaku akibat tebing kolam yang curam sehingga menyukarkan kawanan gajah keluar dari kawasan berkenaan.
Pasukan JHL daerah Kinabatangan yang bergegas ke lokasi bertindak membentuk laluan keluar lebih landai dan selamat bagi membolehkan semua gajah keluar dari kolam tersebut.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi 5R Hidupan Liar, kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius.
JHL turut mencadangkan agar kolam terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan.
Pihak JHL turut menghargai kerjasama pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dijalankan dengan segera.


Leave feedback about this