
KUALA LUMPUR – Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian berkata Sabah membuktikan pembangkang boleh wujud tanpa Democratic Action Party (DAP), sekali gus mengulangi gesaannya supaya parti itu disingkirkan sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, menurut laporan dipetik daripada Suara.TV.
“Sabah ada YB pembangkang (Adun lantikan); cuma DAP tidak termasuk dalam kalangan mereka,” kata beliau yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak.
Laporan itu menyebut, DAP menyaksikan semua lapan calonnya tewas dalam PRN Sabah, termasuk kehilangan enam kerusi kubu kuat, sekali gus menyebabkan parti itu tidak mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Parti Warisan Sabah (Warisan) kini membentuk blok pembangkang di negeri tersebut.
Hujung minggu lalu, Dr Sim turut menggesa pengundi supaya “mengosongkan kerusi” kepada DAP yang kini berperanan sebagai pembangkang di Sarawak dalam PRN akan datang.
Sebagai respons, Ahli Parlimen Bandar Kuching daripada DAP, Kelvin Yii berkata ketiadaan pembangkang bukanlah sesuatu yang baik untuk Sarawak.
Beliau turut memberi amaran agar tidak kembali kepada keadaan di mana kerajaan negeri mempunyai kuasa tanpa semak dan imbang yang sewajarnya.
Menurut laporan dipetik daripada Suara.TV lagi, DAP Sarawak kini memegang dua kerusi DUN, iaitu Pending yang diwakili Violet Yong, dan Padungan yang diwakili pengerusinya, Chong Chieng Jen.
Tempoh penggal DUN Sarawak dijangka berakhir pada Februari tahun depan melainkan dibubarkan lebih awal, dengan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran atau selewat-lewatnya pada April.


Leave feedback about this