Tempatan Utama

GRS tekad perkukuh kestabilan, perpaduan Sabah menjelang 2026

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi tumpuan terhadap agenda kestabilan, perpaduan serta hala tuju pembangunan jangka panjang negeri menjelang Tahun Baharu 2026.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tumpuan itu selaras dengan mandat rakyat dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Katanya, kemenangan GRS membuktikan rakyat memilih kesinambungan dasar, kematangan politik serta kepimpinan yang stabil demi masa depan Sabah.

“Amanah yang diberikan kepada GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya isyarat jelas bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“GRS telah diberi mandat untuk menerajui Kerajaan Perpaduan Sabah. Keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan pentadbiran serta kepimpinan yang mampu membawa Sabah ke arah kemajuan berterusan,” katanya

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian dalam Ucapan Tahun Baharu 2026, hari ini.

Beliau berkata, Tahun 2026 menandakan permulaan fasa penting pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026 – 2030).

“Agenda itu mengekalkan tiga teras utama pembangunan negeri, iaitu sektor pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta pengukuhan jaringan infrastruktur yang mampan dan berteraskan kelestarian hijau,” katanya.

Dalam konteks kementeriannya, Nizam berkata fokus akan diberikan kepada pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi melalui pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta kesukarelawanan.

“Golongan belia perlu diperkasa bukan sekadar sebagai penerima peluang, tetapi sebagai pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri,” katanya.

Pada masa sama, usaha menjadikan Sabah sebagai sebuah Negeri Sukan akan diteruskan secara holistik merangkumi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya dan sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Beliau turut menegaskan pemerkasaan ekonomi kreatif akan dipertingkatkan melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan, khususnya dalam sektor kreatif dan digital, sebagai antara pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing.

Mengulas isu hak negeri, Nizam berkata kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip.

“Hubungan erat antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat serta pembinaan negara yang lebih inklusif dan seimbang,” katanya.

Beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada kerajaan negeri, sambil menegaskan kejayaan membina Sabah yang lebih maju adalah tanggungjawab bersama.

“Semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan berpanjangan dan kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating