Tempatan Utama

Kerajaan dicadang lantik auditor bebas tentukan tuntutan 40 peratus Sabah: Jeffery Nor

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran melantik seorang auditor bebas bagi mengenal pasti secara terperinci kaedah dan jumlah sebenar tuntutan 40 peratus hasil Sabah, khususnya bagi memastikan ketelusan serta keadilan kepada semua pihak berkepentingan.

Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, cadangan itu pernah disuarakan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dan disifatkan sebagai langkah rasional serta praktikal untuk dilaksanakan.

Menurutnya, pendekatan berasaskan audit bebas mampu merungkai isu teknikal berkaitan kaedah pengiraan yang sering menjadi perdebatan berpanjangan.

“Isu teknikal cara kiraan perlu mudah dan jelas, bukan satu pengiraan yang akhirnya menjadi retorik tanpa penyelesaian tuntas.

“Pelantikan auditor bebas perlu mendapat persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi menjamin ketelusan serta penerimaan kedua-dua pihak.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh auditor bebas wajar dijadikan asas dan merit kepada langkah seterusnya bagi merealisasikan tuntutan 40 peratus hasil negeri,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah perlu diberi penjelasan yang mudah difahami mengenai keputusan audit berkenaan supaya tiada kekeliruan.

“Satu ketetapan atau resolusi berasaskan dapatan audit bebas perlu dijadikan tunjang utama ke arah penyelesaian isu tuntutan hasil negeri yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya mahu melihat satu kerangka tetap atau perjanjian baharu berasaskan dapatan audit yang menjadi medan penyelesaian jelas dan berasas bagi melengkapkan tuntutan rakyat Sabah,” katanya.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan mengadakan semakan dan pembayaran semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Leave feedback about this

  • Rating