
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberikan jaminan bahawa tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri ingin merujuk kepada kenyataan Mufti Negeri Sabah, SS Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar di akhbar tempatan pada 3 Januari 2025, yang bertajuk ‘Mufti Sabah sokong hukum sebat di khalayak ramai’.
Antara lain, beliau dipetik turut menyokong pelaksanaan hukuman itu kerana ia mengikut syariat Islam.
“Kerajaan negeri ingin memaklumkan bahawa kenyataan SS Datuk Ustaz Haji
Bungsu merupakan pendapat dan pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan ‘Takzir’.
“Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di negeri Terengganu, baru-baru ini, memandangkan Sabah merupakan negeri yang unik, terdiri daripada berbilang kaum dan agama, serta keharmonian agama, toleransi dan persefahaman menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan melaksanakan pelaksanaan takzir sebatan secara terbuka di khalayak ramai.
“Kita berpegang kepada prinsip ‘Fiqh Sabahi’ yang juga diperkenalkan oleh SS Mufti Sabah iaitu fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat dan menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di Sabah.
“Kerajaan negeri berharap isu ini tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak, sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni,” katanya.


Leave feedback about this