
Tiga lelaki ditahan disyaki terlibat kes curi motosikal di Penampang
PENAMPANG: Tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kecurian motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam satu operasi di sekitar daerah Penampang pada 10 Ogos lalu.
Menurutnya, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan sebuah motosikal dan anak kunci yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Polis akan terus mempergiat usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna, menggunakan kunci keselamatan tambahan serta meletakkannya di kawasan yang terang dan selamat.
Masyarakat turut diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu, kenderaan atau aktiviti yang mencurigakan.
