Sabah First Info Blog Tempatan Warga Emas Ditemui M*ti Dalam Tandas, 10 Individu Ditahan
Tempatan Utama

Warga Emas Ditemui M*ti Dalam Tandas, 10 Individu Ditahan

SANDAKAN: Perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah dan kenaikan kadar sewa bulanan dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun di Tanah Merah, Jalan Leila, di sini.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mereput di dalam tandas sebuah rumah kayu dua tingkat pada Selasa lalu, selepas orang awam memaklumkan kepada polis mengenai bau busuk dari rumah berkenaan kira-kira jam 8.10 malam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.

Katanya, kedua-dua tangan mangsa ditemukan diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup menggunakan kain.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam berhubung bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.

“Mayat mangsa ketika ditemukan sudah mereput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu termasuk dua suspek utama dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan berusia antara 10 hingga 39 tahun, dengan tiga daripadanya warga Filipina manakala tujuh lagi warga tempatan.

George berkata, kesemua individu yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah mangsa.

“Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami mereka,” katanya.

Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta beberapa barangan peribadi milik mangsa yang dipercayai dilarikan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kredit: Sinar Harian

Exit mobile version