
RM1.56 Bilion Perkukuh Sistem Kesihatan Sabah, 53 Projek Bakal Dilaksana
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Sabah menerusi peruntukan RM1.56 bilion bagi melaksanakan 53 projek pembangunan kesihatan di seluruh negeri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan menerusi perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu melibatkan 32 projek fizikal serta 21 projek bukan fizikal.
Katanya, projek fizikal merangkumi pembinaan hospital dan klinik baharu seperti Pusat Jantung Sabah, Klinik Kesihatan Sapulut Nabawan dan Blok Baharu Hospital Tawau, manakala projek bukan fizikal memberi tumpuan kepada pendigitalan teknologi maklumat dan komunikasi serta perolehan peralatan perubatan terkini.
“Kerajaan memperuntukkan RM1.56 bilion menerusi perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 dan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 bagi melaksanakan 53 projek pembangunan kesihatan di seluruh Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan bertajuk Perkhidmatan Kesihatan di Sabah: Realiti Semasa, Cabaran dan Harapan Masa Hadapan di sini, Jumaat.
Menurut beliau, KKM turut menyempurnakan pembangunan semula dan naik taraf 132 Klinik Daif di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 2025 menerusi inisiatif Bitara MADANI dengan peruntukan RM75.5 juta.
“Pada tahun ini, KKM sedang merancang pelaksanaan baki 46 Klinik Daif secara berfasa,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata peruntukan kesihatan Sabah dijangka meningkat lima peratus setiap tahun dan mencecah RM4 bilion menjelang 2030.
Beliau berkata, KKM turut meluluskan peruntukan segera RM4.3 juta untuk beberapa hospital daerah, termasuk RM988,000 bagi Hospital Tambunan, RM1.279 juta bagi Hospital Ranau berserta empat ambulans baharu dan RM2.01 juta untuk menaik taraf Unit Pesakit Luar Hospital Kota Belud.
Bagi meningkatkan akses kesihatan di kawasan pedalaman dan pulau, KKM juga akan melaksanakan projek rintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau pada suku keempat 2026.
Dari aspek pendigitalan, katanya, 81 peratus pesakit kini disaring dan dirawat dalam tempoh kurang satu jam, manakala sistem Cloud-Based Clinic Management System sedang diperluas ke 36 Klinik Kesihatan (KK) di Sabah.
Kesemua 44 klinik pergigian primer di negeri itu pula kini menggunakan rekod pergigian digital menerusi Dental Information System.
Dzulkefly berkata, kerjasama KKM dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membolehkan integrasi digital perkhidmatan kesihatan primer dipercepatkan daripada sasaran 2045 kepada suku pertama 2027.
“Sabah turut mempunyai perkhidmatan e-Kesihatan yang diintegrasikan dengan ekosistem Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) supaya penduduk pedalaman dan pulau boleh mendapatkan konsultasi maya tanpa perlu memandu jauh,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekurangan tenaga kerja masih menjadi antara cabaran utama sektor kesihatan di Sabah.
Kadar pengisian perjawatan kesihatan di negeri itu kini berada pada 88.51 peratus, dengan 3,557 kekosongan, manakala Sabah disokong 2,546 doktor, 549 pakar dan 10,164 jururawat.
Katanya, masalah turut berpunca daripada kecenderungan petugas menjadikan Sabah sebagai tempat latihan sebelum memohon pertukaran keluar.
“Realiti yang lebih mendalam ialah Sabah sering dijadikan training ground atau sekadar tempat latihan persinggahan sebelum petugas memohon pertukaran keluar,” katanya.
Pada 2025, hanya 12 pakar perubatan melapor diri di Sabah berbanding 57 yang bertukar keluar. Dalam tempoh sama, seramai 174 pegawai farmasi memasuki negeri itu, manakala 115 memohon untuk keluar.
Sehubungan itu, KKM bersama Jabatan Perkhidmatan Awam menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Perjawatan KKM-JPA pada April lalu, diikuti penubuhan Jawatankuasa Bersama KKM-Kementerian Pendidikan Tinggi pada Jun bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja di Sabah.
