
Kerajaan Sarawak salur RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas helikopter FDS
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, Ulu Baram, pada Selasa.
Selain bantuan kewangan itu, kerajaan negeri turut akan menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah menerusi Yayasan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bersetuju supaya bantuan berkenaan disalurkan bagi membantu meringankan beban keluarga dan waris mangsa.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), tanggungan yuran pendidikan itu juga merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas yang berkhidmat memberikan akses kesihatan kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman.
Nahas pada 8 September lalu membabitkan sebuah helikopter BO-105 yang menjalankan operasi FDS dan membawa lima individu, termasuk seorang juruterbang serta empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kesemua lima mangsa kemudiannya dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Alexson Adit Henry, Debra Moset dan Jessie Paya Jok.
Kerajaan Sarawak turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris serta menyifatkan pemergian mereka sebagai satu kehilangan besar kepada negeri dan masyarakat, terutama penduduk luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan FDS.
UKAS Sarawak
