Sabah First Info Blog Tempatan Pasaran emas dan barang kemas Sabah terus berkembang – HABIB
Tempatan Utama

Pasaran emas dan barang kemas Sabah terus berkembang – HABIB

Pasaran emas dan barang kemas Sabah terus berkembang – HABIB

KOTA KINABALU: Potensi pasaran barang kemas dan emas di Sabah dilihat semakin memberangsangkan berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan tempatan serta antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, Sabah merupakan antara pasaran yang mempunyai potensi besar bagi industri barang kemas, bukan sahaja sebagai barangan perhiasan, malah sebagai bentuk pelaburan dan penyimpanan nilai.

Menurutnya, sepanjang 35 tahun HABIB bertapak di Sabah, pihaknya menyaksikan perkembangan positif dalam permintaan terhadap barang kemas, khususnya emas dan berlian.

“Potensi di Sabah ini amat bagus kerana bukan sahaja orang membeli barang kemas sebagai perhiasan, tetapi juga sebagai pelaburan.

“Peningkatan harga emas yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut mendorong masyarakat menjadikan emas sebagai aset simpanan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan inflasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran bilik pameran HABIB di Imago, Kota Kinabalu, pada Khamis.

Perasmian bilik pameran berkenaan disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin.

Meer berkata, pembukaan cawangan terbaharu di Pusat Membeli-belah Imago merupakan langkah strategik bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Katanya, sebelum ini pihak HABIB turut mengadakan pameran di Hyatt Kota Kinabalu sebelum membuka cawangan di 1Borneo dan Suria Sabah.

“Sabah bukan sahaja mempunyai pelanggan tempatan, malah kita turut menerima ramai pelanggan antarabangsa, khususnya di pusat membeli-belah utama seperti Imago,” katanya.

Beliau yakin perkembangan industri barang kemas di Sabah akan terus positif, didorong permintaan terhadap emas dan berlian yang bukan sahaja dilihat sebagai perhiasan, tetapi turut mempunyai nilai sebagai aset dan pelaburan.

Sumber Jabatan Penerangan Sabah

Exit mobile version