Sabah First Info Blog Tempatan 111 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen di tiga daerah
Tempatan Utama

111 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen di tiga daerah

111 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen di tiga daerah

KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tiga daerah, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Kudat, pada 18 hingga 19 Ogos lalu.

Di Kota Kinabalu, menerusi Ops Sapu, seramai 153 individu diperiksa dan 66 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Daripada jumlah itu, tangkapan membabitkan 60 warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan, selain enam warga Indonesia iaitu dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa.

Sementara itu, di Sandakan, seramai 35 individu diperiksa dengan 27 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen yang sama.

Tangkapan membabitkan 26 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, serta seorang lelaki dewasa warga Indonesia.

Di Kudat pula, Ops Sapu memeriksa 36 individu dan menahan 18 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Kesemua tangkapan di daerah itu membabitkan warga Filipina, terdiri daripada lapan lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

JIM Sabah berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

Jabatan itu turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM.

Exit mobile version