Sabah First Info Blog Tempatan Sekolah Ditutup, Projek Pembesaran Sungai Diteruskan
Tempatan Utama

Sekolah Ditutup, Projek Pembesaran Sungai Diteruskan

TAWAU– Tiga buah sekolah di daerah Tawau diarahkan ditutup sementara susulan banjir yang melanda beberapa kawasan selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin Tabar berkata, penutupan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan Kuala Apas, Sekolah Kebangsaan Batu 22 dan Sekolah Agama Negeri Jalan Apas Batu 4 bagi memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah.

Menurut beliau, JPNS sedang memantau situasi semasa dan bersedia melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya banjir berlarutan sehingga menjejaskan sesi persekolahan.

Katanya, pengalaman mengendalikan PdPR ketika pandemik COVID-19 akan dimanfaatkan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terganggu.
“Keutamaan kita ialah keselamatan murid dan guru. Jika keadaan tidak selamat, sesi persekolahan tidak akan diteruskan.

“Pada masa sama, kita telah menyediakan pelan tindakan termasuk pelaksanaan PdPR dan kelas ganti supaya murid tidak tercicir serta jumlah minimum 190 hari persekolahan dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Dewan Terbuka SMK Balung dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar STPM 2025 Parlimen Tawau, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Lo Su Fui berkata kerajaan Persekutuan akan meneruskan projek pembesaran sungai yang sebelum ini tertangguh sebagai langkah jangka panjang menangani masalah banjir di Tawau.

Beliau berkata, projek Fasa 1B yang dibatalkan pada 2018 kini mendapat jaminan peruntukan khas daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Projek itu melibatkan kerja menaik taraf sistem pintu air (tidal gate) di empat sungai utama iaitu Sungai Tawau, Sungai Apas, Sungai Tanjung Batu dan Sungai Kinabutan.

“Selepas pembesaran sungai siap, sistem pintu air akan dinaik taraf supaya mampu beroperasi secara automatik ketika air pasang, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir kilat yang kerap melanda Tawau,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, menjejaskan ratusan penduduk serta memaksa sebahagian mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pelaksanaan projek tebatan banjir itu diharap dapat mengurangkan kejadian banjir berulang pada masa hadapan, khususnya ketika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.

Exit mobile version